YAN: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terbaring di kawasan Alor Naga di puncak Gunung Jerai, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang menemui mayat lelaki berkenaan pada jam 12.30 tengah hari.

"Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui tanpa pakaian di dalam sungai di kawasan air terjun Alor Naga.

"Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dipanggil untuk melakukan siasatan ke atas mayat dan tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Shahnaz berkata, mayat kemudianya dibawa turun dengan bantuan anggota bomba Guar Chempedak dan tiba di kaki Gunung Jerai pada jam 5.30 petang.

Shahnaz berkata, mayat lelaki itu kemudian di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, setakat ini hasil pemeriksaan fizikal pada mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.